KINABATANGAN: Orang ramai khususnya di daerah ini dan kawasan berhampiran dijemput hadir bagi memeriahkan program Kinabatangan Cultural Festival 2023 (KINACUF2023) yang diadakan esok di Dewan Sri Lamag Kinabatangan.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kinabatangan Mohd Kurniawan Naim Moktar berkata acara yang julung kali dianjurkan itu, bermula dari awal pagi sehingga ke malam dengan pelbagai pengisian program yang disajikan kepada pengunjung.
Katanya acara yang bermula jam 8 pagi itu dimulakan dengan pemeran etnik ,bengkel seni ,sukan rakyat dan persembahan tarian daripada setiap etnik yang ada di daerah ini.
“ Pada sebelah petang pula kita ada persembahan pentas dengan persembahan beberapa orang artis jemputan selain persembahan pencak silat dan acara ini akan di teruskan pada sebelah malam untuk majlis perasmian program,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan dijangka akan merasmikan majlis ini.
Menurut Mohd Kurniawan pada sebelah malam pula orang ramai akan dapat berhibiur bersama artis-artis jemputan antara Sop Band, Ameza, Syamira,Kimberly, Ikigai Band, Zuana Zul Mat, Fedlee Patrick, Zarinie Shakira, Baby Masmina FT Lampu Neon Rhythm, Clarice Johan Martha dan Fiq Mintor.
Mohd Kurniawan yang juga Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO berkata penganjuran program ini juga diharapkan akan dapat memperkukuhkan perpaduan dikalangan masyarakat khususnya di kawasan tersebut.
Katanya, Malaysia khususnya di Sabah, kaya dengan kepelbagaian budaya, bahasa, adat resam dan agama yang mana keunikan ini perlu ditonjolkan sebagai salah satu prodak pelancongan khususnya di kawasan Kinabatangan.
“Masyarakat luar sering memandang Malaysia sebagai negara model perpaduan atas keharmonian dan kesejahteraan rakyatnya yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang. Justeru kita berharap penganjuran program seperti ini dapat dijadikan wadah ke arah memperkukuhkan semangat perpaduan dan kerjasama erat di kalangan Masyarakat setempat,” katanya
Beliau menambah penganjuran KINACUF 2023 bermatlamat untuk mendekatkan masyarakat umum dan antarabangsa dengan kegiatan seni budaya dan pelancongan Malaysia khususnya di kawasan Kinabatangan serta mempromosikan pelbagai produk pelancongan yang terdapat di negara ini.