SEMPORNA : Seorang pelancong maut selepas bas persiaran membawa 15 pelancong warga China terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 21 Jalan Semporna-Tawau dekat sini pada pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Semporna Supt Mohd Farhan Lee Abdullah berkata kejadian pukul 11.30 pagi itu mengakibatkan pelancong lelaki berumur 56 tahun maut, manakala pelancong lain yang terdiri daripada sembilan lelaki serta lima wanita berumur 30 hingga 60 tahun selamat.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas lori dari arah Tawau yang menuju ke Semporna itu memasuki lorong bertentangan, lalu berlanggar dengan bas persiaran yang dari arah Semporna menuju ke Lapangan Terbang Tawau.
“Akibat pelanggaran, bas itu terbabas lalu terbalik ke sebelah kiri jalan. Pemandu lori berkenaan pula mengalami kecederaan patah kaki sebelah kanan dan dirujuk ke Hospital Tawau,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Hemkkumar Ayathuray dengan menelefon 012-3650021 atau 089-782020 bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna Madzlan Sarman berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan membabitkan sebuah lori tiga tan dengan sebuah bas persiaran membawa pelancong China pada pukul 12.01 tengah hari tadi.
“Tujuh pegawai serta anggota bersama sebuah jentera serta sebuah van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi berhampiran Bulatan Lepa di sini selepas menerima panggilan kecemasan,” katanya menambah antara lain pemandu bas pelancong mengalami trauma dan dihantar ke hospital.