KOTA KINABALU: Ekonomi global dijangka kembali stabil lima tahun selepas krisis pandemik, namun momentum pemulihan berdepan cabaran akibat ketidaktentuan dasar dan ketegangan geopolitik.
Pakar Ekonomi Politik UiTM Sabah, Prof. Madya Dr. Firdausi Suffian berkata, walaupun pembukaan sempadan dan pemulihan perdagangan membantu pertumbuhan, gangguan rantaian bekalan serta peningkatan dasar perlindungan ekonomi menjejaskan kestabilan global.
Katanya, peningkatan tarif dan halangan bukan tarif telah mewujudkan persaingan tidak seimbang, termasuk kesan daripada perang perdagangan Amerika Syarikat-China serta tindakan Washington mengenakan tarif ke atas import tertentu.
“Fokus kepada ekonomi domestik adalah penting, namun ia tidak boleh sehingga menjejaskan prinsip perdagangan bebas dan kerjasama antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, ekonomi domestik yang kukuh mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan eksport, pelaburan dan inovasi, sekali gus memperkukuh daya saing jangka panjang.
Beliau berkata, pandemik Covid-19 turut menunjukkan kepentingan keseimbangan antara kebergantungan global dan keperluan memperkukuh keupayaan kendiri dalam sektor strategik.
“Tiada negara mampu berdikari sepenuhnya, justeru dasar ekonomi perlu mengambil kira realiti saling kebergantungan,” katanya.
Dalam konteks serantau, beliau menambah ekonomi ASEAN membuktikan bahawa integrasi rantaian pengeluaran adalah faktor penting dalam meningkatkan daya tahan ekonomi.
