TAWAU : Dua suspek warga asing telah ditahan selepas dipercayai terlibat kes mencuri motor di Kampung Balung Cocos, dekat sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, seorang lelaki mendapati motorsikal jenis Yamaha LC 135 miliknya yang diletakkan di kawasan kediaman telah hilang dipercayai dicuri.
Katanya, mangsa telah membuat laporan polis di Balai Sri Indah setelah usaha mencari motorsikal di kawasan sekitar dan rumah tidak membuahkan hasil.
Menurut beliau, sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai dan Balai Polis Bandar Sri Indah serta dibantu oleh Polis Bantuan Sabah Softwood telah pergi ke kawasan Kem Brumas dan berjaya mengesan motorsikal yang dilaporkan hilang sebelum ini.
“Semasa operasi, suspek yang sedang menunggang motorsikal dalam keadaan mencurigakan telah diperiksa oleh pihak polis. Hasil pemeriksaan mendapati motorsikal itu pernah dilaporkan hilang sebelum ini di Balung.
“Hasil pandu arah daripada suspek pertama, polis kemudiannya berjaya mengesan suspek kedua namun suspek bertindak agresif dan berlaku pergelutan sebelum berjaya ditahan.
“Kedua-dua suspek yang merupakan warga asing tanpa dokumen perjalanan yang sah berumur anggaran 16 hingga 33 tahun dibawa ke balai polis bersama barang rampasan iaitu sebuah motorsikal beserta anak kunci dan helmet untuk siasatan lanjut,” katanya.
Menurut beliau, kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.