Kes ADUN Positif dadah: DAP Perak arahkan Naidu hantar laporan bertulis

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu, diminta mengemukakan laporan bertulis berhubung kejadian ditahan selepas didakwa positif dadah, di sebuah kelab malam di Perai Jaya, Pulau Pinang, malam tadi.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming, berkata arahan itu dikeluarkan supaya pimpinan DAP Perak dan kebangsaan dapat dimaklumkan mengenai situasi sebenar yang berlaku.

Nga menjelaskan, beliau telah menghubungi Naidu petang tadi dan mengesahkan beliau ditangkap dan ditahan polis pada jam 8.22 malam di sebuah kelab malam, di Bandar Perai Jaya, Pulau Pinang.

“Kami memberi jaminan kepada orang ramai bahawa DAP memandang serius kelakuan, watak dan integriti wakil rakyatnya dan mereka harus menjadi contoh teladan sebagai orang diamanahkan oleh rakyat untuk memimpin mereka.

“Beliau telah dibebaskan dengan jaminan polis petang tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

FMT sebelum ini melaporkan seorang ADUN Perak ditahan selepas dikatakan positif dadah susulan serbuan di sebuah kelab malam, malam tadi.

Sumber polis memberitahu, beliau ditemui bersama 35 yang lain di kelab malam itu.

Difahamkan, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Bagaimanapun, beliau telah dibebaskan dan perkara itu disahkan peguam, RSN Rayer.

“Ya dia (Terence) ditahan. Saya hadir prosiding reman hari ini.

“Mereka (polis) meminta empat hari dan saya membantah reman itu. Mahkamah memerintahkan (untuk) dia dibebaskan,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Naidu dari DAP dilantik semula menjadi ADUN Pasir Bedamar dalam Parlimen Teluk Intan, pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 2018.