Kerjasama NGO dan swasta bantu rakyat kurang bernasib baik – Hajiji

KOTA KINABALU : Usaha kerajaan untuk terus memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada rakyat khususnya golongan yang kurang bernasib baik, memerlukan kerjasama serta sokongan daripada semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), korporat dan sektor swasta.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, justeru usaha Yayasan Kasih Suria melaksanakan pelbagai program dan kerja amal sejak lebih 30 tahun lalu termasuk melalui pendidikan, kebajikan dan sosioeknomi, memberi manfaat besar kepada masyarakat yang memerlukannya di negeri ini.

Katanya, konset amal dilaksanakan yayasan bertepatan terhadap keperluan rakyat Malaysia sebagai masyarakat prihatin dan berbudi pekerti tinggi.

“Inisiatif orang persendirian, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan syarikat korporat membantu mengadakan program kebajikan dan amal begini perlu dicontohi dan disokong sepenuhnya.

“Sehubungan itu saya menyeru agar lebih banyak lagi syarikat swasta dan badan korporat untuk tampil memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan di negeri ini,” katanya sempena Konsert Amal Yayasan Kasih Suria di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini semalam.

Teksnya disampaikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Arifin Arif.

Hajiji merakamkan tahniah atas usaha Yayasan Kasih Suria yang diketuai Datuk Raya Erom, dalam membantu masyarakat yang memerlukan bantuan di negeri ini, menerusi pelbagai program yang diadakan.

Katanya, ini termasuklah melalui pelbagai usaha-usaha dilakukan seperti mewujudkan Rumah Kebajikan Suria yang memberi tempat perlindungan kepada anak-anak yatim, hingga kepada Pusat Seni Suria yang memberikan platform kepada belia mengembangkan bakat seni mereka.

“Yayasan ini juga mewujudkan Sekolah Agama Suria di Tuaran menjadi pusat bimbingan ilmu agama, memberi manfaat besar kepada komuniti tempatan,” jelas Hajiji.

Menurutnya, kerajaan memang berusaha bersungguh-sungguh untuk membantu serta memberi keselesaan bagi mengurangkan beban golongan yang tidak bernasib baik dari semasa ke semasa.

“Penganjuran majlis ini sangat bertepatan dengan usaha kerajaan khususnya salah satu teras dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya iaitu Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat.

“Kita maklum, tidak semua dalam kalangan ahli masyarakat kita yang bernasib baik dan hidup dalam keadaan yang selesa,” tambahnya.

Hajiji berkata, usaha kerajaan tidak memadai dan ia perlu disokong masyarakat secara keseluruhan.

“Dalam hal ini, semua pihak perlu terlibat dalam program kebajikan dan kemasyarakatan.

“Sumbangan menerusi konsert amal ini dapat digunakan sebaik-baiknya memperkasakan lagi program dijalankan, terutamanya bagi menaik taraf fasiliti Sekolah Agama Suria dan untuk memastikan lebih banyak lagi komuniti menerima manfaat,” kata Hajiji.