TAWAU : Hubungan kerjasama erat membabitkan kerajaan negeri bersama Persekutuan mampu mempercepatkan usaha membasmi kemiskinan di negeri ini.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, ini sekali gus dapat dilihat mampu memberikan impak besar kepada rakyat, khususnya di Sabah.

Katanya, matlamat menoktahkan kemiskinan menjadi keutamaan selaras dengan agenda Kerajaan Madani.
“Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat memberikan penekanan terhadap usaha membasmi isu kemiskinan, termasuk di Sabah.
“Begitu juga hala tuju Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor begitu selari dengan hasrat Perdana Menteri bagi menoktahkan kemiskinan tegar di negeri ini,” katanya di sini semalam.

Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan, sudah pasti banyak manfaat dapat disalurkan kepada rakyat.
Sementara itu dalam perkembangan sama Nizam turut mengalu-alukan Program Madani Rakyat (PMR) peringkat Sabah dijangka dirasmikan Perdana Menteri di Tawau minggu ini.

“Alhamdulillah, Jabatan Penerangan Malaysia Sabah (JaPen) memilih Kampung Batu Payung, Tawau sebagai lokasi penganjuran.
“Syabas kepada JaPen kerana berjaya melaksanakan tanggungjawab sebagai penyampai maklumat kerajaan kepada rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.