Ambil Tindakan Terhadap Penama ‘Datuk Chin’ adalah tepat, Wajar – Norfaizah

KOTA KINABALU : Tindakan mengambil undang-undang terhadap penyebar fitnah bernama ‘Datuk Chin’ merupakan langkah wajar serta tepat pada masanya.

Ketua Wanita Parti Warisan (WARISAN), Norfaizah Chua berkata, beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu dikenali sebagai Datuk Chin.

Katanya, ini susulan dakwaan penama tersebut dikenal pasti berasal dari Tawau adalah berunsur fitnah mengenai asal-usul keturunannya.

“Kita menyifatkan tuduhan ini tidak berasas mengatakan bahawa Shafie bersama keluarganya berasal dari Filipina atau tergolong sebagai Pendatang Tanpa Izin (PTI) dilihat sebagai satu bentuk serangan peribadi yang sangat jahat.

“Tindakan tegas seperti ini sememangnya wajar agar menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak yang sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah demi kepentingan politik sempit,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Norfaizah berkata, beliau berasa sungguh kesal kerana isu seperti ini terus dimainkan setiap kali menjelang pilihan raya.

“Sedangkan rakyat kini sangat terbeban serta lebih mengutamakan agar isu pembangunan, kebajikan dan kesejahteraan hidup dapat diselesaikan segera.

“Rakyat hari ini mahu mendengar tentang kejayaan pembangunan negeri, soal kehidupan yang baik tanpa dibebani masalah kos sara hidup yang tinggi,” jelas Norfaizah.

Menurutnya, rakyat ketika ini mahu agar bekalan air bersih yang konsisten terus sampai ke rumah  disamping kemudahan elektrik dan jalan raya yang baik.

“Kami berdiri teguh di belakang Presiden parti, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal. Keikhlasan dan perjuangan beliau akan terus kami pertahankan daripada sebarang tohmahan jahat,” katanya.