Kerajaan yakin lahirkan generasi dalam bidang sains dan teknologi

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri komited untuk membangunkan lebih banyak kumpulan modal insan yang berkemahiran tinggi dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi di negeri ini, ketika ekonomi global sekarang memasuki Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata dalam Belanjawan 2022 Sabah, Kerajaan Negeri tidak hanya memberi tumpuan kepada pertumbuhan dan pemulihan ekonomi tetapi juga pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat.

“Sehubungan itu, sebanyak RM127.06 juta telah diperuntukkan kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk Program Pembudayaan dan Pengadaptasian Sains, Teknologi dan Inovasi di negeri ini.

“Peruntukan sebanyak RM500,000 bagi melaksanakan Kajian Kemungkinan Pembangunan IR4.0 Advancement Centre di Sabah Skills & Technology Centre juga diberikan bagi bakat modal insan di Sabah terus digilap untuk memenuhi kehendak industri semasa,” katanya.

Teks ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.

“Saya gembira kerana hari ini SSTC kini sedang melaksanakan program ‘Skills for Prosperity’ menerusi kerjasama dengan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Suruhanjaya Tinggi British, di Kuala Lumpur.

“Program ini adalah yang pertama di Sabah dan bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin merakamkan terima kasih serta penghargaan kepada pihak Suruhanjaya Tinggi British dan ILO kerana masing-masing membiayai dan menyelaras program ini,” katanya.

Dua daerah dipilih sebagai projek perintis iaitu di Ranau (keusahawanan pemprosesan makanan) dan Tuaran (penerapan elemen Teknologi dan pemprosesan makanan) dengan membabitkan seramai 50 peserta yang bermula pada November lalu.

“Program ini sejajar dengan teras kedua dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), oleh itu kumpulan sasar adalah daripada golongan B40, wanita terutamanya ibu tunggal dan juga belia,” katanya.