KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan Bantuan Khas COVID-19 (BKC), satu lagi bantuan tunai yang dijangka memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan RM4.6 bilion.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion, berkata ini merupakan sebahagian daripada Bantuan Tunai Langsung berjumlah RM10 bilion, selain Bantuan Prihatin Rakyat yang diumum sebelum ini bagi memastikan rakyat mendapat bantuan pada bulan-bulan mendatang sehingga akhir tahun ini.
Di bawah BKC, Muhyiddin berkata isi rumah miskin tegar akan menerima RM500 pada Ogos dan November serta RM300 pada Disember, manakala individu bujang miskin tegar akan menerima bantuan sebanyak RM200 pada Ogos dan RM300 pada November.
Isi rumah kategori B40 pula, menurutnya akan menerima bantuan RM500 pada Ogos dan RM300 pada Disember, manakala individu bujang kategori sama akan menerima bantuan RM200 pada Ogos.
Kategori M40 turut tidak ketinggalan dengan isi rumah kategori ini akan menikmati bantuan sebanyak RM250, manakala bagi individu bujang kategori sama akan menerima RM100, kedua-duanya pada Ogos ini, menurutnya.
– BERNAMA