Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kerajaan tidak akan terganggu dalam apa jua situasi, tetapi terus bekerja bersama barisan hadapan serta rakyat untuk memerangi pandemik itu.
Beliau berkata, rakyat perlu terus cekal dan kekal dengan semangat juang untuk bersama kerajaan bagi tempoh mendatang dalam mengharungi cabaran pandemik COVID-19.
“Kerajaan sudah mengambil pelbagai langkah melandaikan keluk jangkitan termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kawalan rapi pintu sempadan, kuarantin, penguatkuasaan tegas prosedur operasi standard (SOP), mempertingkat kapasiti kesihatan awam serta pelbagai aktiviti kesedaran awam dan kempen pembudayaan norma baharu.
“Tidak dapat dinafikan penutupan sektor ekonomi memberi kesan besar kepada ekonomi negara dan kehidupan rakyat, namun kerajaan terpaksa melaksanakan PKP ini bagi melandaikan lengkuk jangkitan wabak COVID-19 sekali gus memastikan sistem kesihatan awam negara tidak runtuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, sejak pandemik melanda negara, pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi yang keseluruhannya berjumlah RM340 bilion dilaksanakan biarpun kerajaan mempunyai ruang fiskal yang amat terhad.
Terbaharu adalah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Plus) bernilai RM40 bilion bagi mengurangkan beban rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi negara.
“Semua ini dilaksanakan atas dasar keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat dan setiap keputusan diambil bagi memastikan wujud keseimbangan antara keperluan untuk melindungi nyawa dan menjamin kelangsungan hidup rakyat.
“Langkah fiskal diambil sudah memberikan pelbagai impak positif untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan serta menyediakan bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan,” katanya,
Bagi menyokong sektor pertanian dan industri makanan serta menjamin sekuriti makanan negara, beliau berkata, pembiayaan bernilai RM400 juta sudah diperuntukkan bagi golongan petani, penternak dan nelayan.
“Di bawah Skim Pembiayaan Mikrokredit Agrobank saja, RM350 juta sudah diperuntukkan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA). Setakat 16 Jun lalu, sebanyak RM198.67 juta sudah diluluskan di bawah skim ini bagi memanfaatkan 15,612 PKS Mikro pertanian.
“Kerajaan sentiasa memberi penekanan khusus terhadap sekuriti makanan bagi memastikan jaminan dan kelangsungan bekalan makanan negara,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan berada di landasan betul untuk beralih keluar dari kemelut pandemik kepada norma kehidupan seharian seperti mana yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Namun kejayaan pelan ini memerlukan kerjasama dan sokongan rakyat secara keseluruhannya dengan terus mengamalkan disiplin kendiri yang tinggi, pematuhan SOP sepanjang masa serta terus berdaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.