29 C
Kota Kinabalu
Tuesday, March 21, 2023

Sabah jalankan siasatan kerosakan terumbu di lokasi selam popular Pulau Mabul

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah sedang menyiasat kejadian sebuah barj merosakkan terumbu karang di lokasi menyelam popular dunia berhampiran Pulau Mabul, di perairan berhampiran Semporna.

Menteri Pelancongan, Budaya dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) Sabah untuk menyiasat kejadian itu dengan lebih mendalam.

Jafry bagaimanapun menjelaskan lokasi itu tidak terletak di kawasan yang dilindungi Taman-taman Sabah atau Jabatan Hidupan Liar negeri, seterusnya menyukarkan pihak berkuasa mengambil tindakan mengikut undang-undang.

“Ini menyukarkan undang-undang dikuatkuasakan. Jabatan Perikanan juga tiada bidang kuasa untuk menangani kerosakan terhadap terumbu karang di luar kawasan terlindung, kerana tidak termaktub dalam Akta Perikanan 1985.

“Jika ada kelemahan (dalam undang-undang) dari segi bidang kuasa atau penguatkuasaan, ini akan ditangani untuk memastikan setiap pelusuk Sabah akan dilindungi terutama melibatkan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jafry berkata, siasatan awal mendapati barj itu terlibat dalam projek membina pangkalan operasi hadapan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di pulau berkenaan.

Tambahnya, berdasarkan rekod diberikan JPAS, lampu hijau telah diberikan untuk pembinaan pangkalan itu selepas penerimaan laporan cadangan untuk langkah-langkah mitigasi (PPM) pada 8 Feb lalu.

Jafry berkata isu kerosakan terumbu karang di Pulau Mabul itu adalah sesuatu yang serius.

“Ini telah memusnahkan terumbu yang mengambil masa ratusan tahun untuk tumbuh selain menjadi habitat pelbagai kehidupan marin. Tambahan pula perairan di situ memang tarikan bagi industri penyelam skuba.

“JPAS akan meneliti perkara ini secara menyeluruh untuk memastikan apa terma dalam PPM yang telah dilanggar. Jabatan itu dan Taman-taman Sabah akan melaksanakan penilaian segera,” katanya.

Pejabat Daerah Semporna dan agensi penguatkuasaan lain melawat lokasi itu, pagi tadi.

Semalam, pengendali resort dan pakar pemuliharaan berkata, kerosakan diakibatkan barj besar itu berlaku pada awal pagi di Paradise One, iaitu antara lokasi menyelam paling terkenal di Mabul.

Seorang pengurus resort di pulau itu yang enggan namanya didedahkan berkata, pihaknya cuba menghalang penggunaan barj itu malah menasihatkan kontraktor yang berpangkalan di pulau berkenaan bahawa kapal tersebut terlalu besar. Malangnya, nasihat mereka tidak diendahkan, katanya.

Jafry berkata, barj itu telah dialihkan dari lokasi berkenaan, dan langkah pemulihan akan dibuat di terumbu terjejas oleh agensi di bawah kementeriannya, khususnya Taman-taman Sabah yang mempunyai kemahiran dalam bidang itu.

“Saya dan kementerian ini akan terus memantau keadaan serta proses pemulihan dari semasa ke semasa,” katanya.

SabahNewsToday

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="SabahNewsToday" twitter="@SabahNewstodayN" youtube="#" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333"]
Iklan

Latest Articles