PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kegiatan sindiket yang disyaki membolot 22 projek bernilai RM135 juta di sebuah kementerian sejak 2017.
Ia hasil siasatan suruhanjaya itu terhadap seorang penolong setiausaha bahagian kementerian berkenaan, pemilik-pemilik syarikat dan pengurus syarikat yang ditahan sejak 21 Jun lalu.
Hasil siasatan berhubung kes itu membawa kepada penahanan terbaharu iaitu seorang pegawai bahagian perolehan di kementerian berkenaan kerana disyaki menerima rasuah berjumlah RM150,000 daripada kontraktor bagi mendapatkan projek bernilai RM2.6 juta.
Menurut sumber itu, projek bernilai RM2.6 juta itu adalah projek pembekalan kelengkapan menyelam bagi sebuah agensi kerajaan.
“Sindiket ini juga dipercayai mengupah pihak lain pula untuk mengendalikan projek-projek tersebut,” kata sumber itu.
Pada 21 Jun lalu, empat pemilik syarikat kejuruteraan marin ditahan reman kerana disyaki memberi rasuah bagi tujuan mendapatkan projek pembekalan, perkhidmatan dan penyelenggaraan marin yang dianggarkan bernilai RM10 juta daripada agensi kerajaan.
Esoknya, penolong setiausaha bahagian kementerian berkenaan pula ditahan dan diikuti dengan penahanan seorang pengurus syarikat.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009, kata sumber.
– BERNAMA