TAWAU : Kerajaan negeri komited memenuhi keperluan rakyat disamping menyediakan pelbagai bantuan disediakan kepada mereka.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, oleh itu, semua wakil rakyat dari blok kerajaan diwajibkan turun padang bertemu rakyat.

Katanya, perkara ini penting untuk mengetahui keperluan serta permasalahan dihadapi penduduk peringkat akar umbi.
“Kita yakin kerajaan negeri akan terus menabur bakti dan menyalurkan lebih banyak bantuan kepada rakyat.
“Ini sekiranya kerajaan hari ini jika terus diberikan peluang untuk memerintah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti,” katanya di sini semalam.

Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas ketika hadir di Majlis Berkhatan beramai-ramai, di Masjid Babul Khair, Kampung Titingan, di sini, semalam.
Mengulas mengenai program ini beliau berkata, majlis ini merupakan program tahunan diadakan setiap kali tiba musim cuti sekolah.
“Program ini bertujuan meringankan beban ibu bapa terutama kepada mereka yang kurang berkemampuan.

“Kita akan memberikan keutamaan kepada keluarga kurang berkemampuan sekali gus akan dianjurkan di kawasan kampung di DUN Apas,” jelas Nizam.