TAWAU: Kerajaan Sabah menyasarkan sifar kejadian kebakaran di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas bermula tahun hadapan menerusi pendekatan pencegahan yang menyeluruh dan bersepadu.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata usaha itu akan memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran masyarakat, penambahan kemudahan keselamatan asas serta pengukuhan peranan bomba komuniti.
Menurutnya, sasaran tersebut penting memandangkan DUN Apas melibatkan kawasan penempatan yang padat dan berisiko tinggi, khususnya perkampungan di sepanjang pesisir pantai.
“Kerajaan komited memastikan semua pihak memainkan peranan masing-masing bagi menjadikan kawasan ini bebas daripada kejadian kebakaran menjelang 2026,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kejayaan inisiatif itu memerlukan kerjasama penduduk, khususnya dalam aspek keselamatan pendawaian elektrik dan pembinaan rumah yang lebih selamat.
Nizam berkata, beliau bersama Jawatankuasa Tindakan Daerah turut membincangkan keperluan menambah pili bomba di kawasan berisiko tinggi sebagai langkah kesiapsiagaan awal.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan berupa barangan dapur, bahan mentah dan wang tunai kepada mangsa kebakaran di Kampung Sri Aman, Batu 3 Jalan Apas, pagi tadi.
Dalam kejadian lewat malam Ahad lalu, kebakaran di perkampungan atas air itu memusnahkan 30 rumah kayu, melibatkan 36 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan 221 mangsa yang kehilangan tempat tinggal.
