BELURAN (Bernama): Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berupaya melaksanakan pelbagai pogram bantuan bagi meringankan beban rakyat meskipun negara berdepan dengan cabaran ekonomi susulan pandemik COVID-19, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Beliau berkata keupayaan itu menunjukkan kerajaan PN prihatin dan mendengar keluhan rakyat, khususnya yang terkesan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pelbagai fasa.
“Kerajaan ini (PN) masih mampu mengolah program bantuan kepada rakyat termasuk bantuan-bantuan one-off seperti BPN 2.0 ini yang merupakan bantuan kedua kali kepada rakyat di bawah kategori B40.
“Dalam keadaan ekonomi tidak membangun disebabkan oleh COVID-19, kerajaan masih memberikan BPN dengan berbelanja bilion ringgit bagi meringankan beban rakyat,” katanya pada Majlis Penyerahan Bersepadu Penunaian BPN 2.0 kepada penerima tiada akaun bank di Beluran, di sini hari ini.
Kiandee yang juga Ahli Parlimen Beluran, mengikuti majlis itu secara sidang video dari Putrajaya dan seramai 1,395 penerima yang layak di Beluran, tetapi tiada akaun bank, menerima bantuan itu.
Beliau turut mengulas mengenai setahun kerajaan PN dibentuk pada hari ini, yang menurutnya Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menggariskan langkah dan tindakan diambil sejak setahun lalu termasuk program BPN ini dalam kerajaan melandaikan keluk pandemik COVID-19.
“Kerajaan dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddn adalah kerajaan yang memimpin, membangun rakyat dan ekonomi berlatarbelakangkan pandemik COVID-19.
“Tidak sama dan (tidak) mudah seperti kerajaan lalu. Bagaimanapun kita (PN) masih berfungsi sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab,” katanya.
SabahNewsToday