KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) akan menghantar surat peletakan jawatan Hassan A. Gani Pangiran Amir kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, esok bagi mengotakan ikrarnya untuk melepaskan jawatan sebagai ADUN Sebatik jika melompat parti.
Surat berkenaan akan turut diserahkan kepada Yang Dipertua Sabah serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi melihat bentuk tindakan yang diambil. Perkara tersebut disahkan Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam sidang akhbar petang tadi.
“Esok atau lusa kita akan segera menghantar surat peletakkan jawatan tersebut. Ini yang boleh kita lakukan selepas secara jelas dalam siaran video tersebut Hassan A. Gani bersedia melepaskan jawatannya,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat bersama semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) WARISAN di pejabat WARISAN Kota Kinabalu hari ini.
Surat peletakan jawatan itu ditandatangani Hassan A. Gani pada 10 September lalu sebelum beliau menerima watikah pelantikan sebagai calon WARISAN bagi kerusi DUN Sebatik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16.
Rakaman video yang menyaksikan Hassan A. Gani berikrar untuk setia kepada WARISAN serta menyatakan kesediaannya untuk menandatangani surat berkenaan disahkan sebagai bukti keikhlasannya turut didedahkan kepada media.
Bagaimanapun, pada 25 Februari lalu, Hassan A. Gani mengingkari ikrar tersebut apabila mengumumkan meninggalkan WARISAN serta menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Shafie berkata, WARISAN tidak pernah memaksa mana-mana calon parti itu untuk menandatangani surat tersebut sebaliknya mereka secara sukarela melakukannya atas kehendak sendiri untuk menjadi calon.
“Surat tersebut ditandatangani di hadapan barisan peguam sebagai saksi, ini sudah cukup untuk dijadikan sebagai bukti kukuh bagi mengambil tindakan terhadapnya.
“Bukan ada paksaan dan tekanan sebelum dia menjadi YB (Yang Berhormat). Semua YB kita minta lafazkan janji mereka atas kapasiti parti sekaligus bagi mengelak agar khianati perjuangan ini,” katanya.
Shafie berkata, pihaknya melantik peguam yang turut menjadi saksi dalam lafaz ikrar yang dilalukan Hassan A. Gani sepertimana yang turut disiarkan kepada pihak media hari ini.
“Dalam lafaz video tersebut kita melihat secara jelas Hassan A. Gani telah berjanji malahan berjanji atas nama Allah SWT Tuhan sekaligus tiada ada paksaan ini,” katanya.
SabahNewsToday