KENINGAU: Bekas calon Parti Cinta Sabah (PCS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nabawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN-16) lalu Ampalus @ Robert Sanaron bersama 291 ahli menyertai Parti Solidariti Tanah Airku (Star Sabah).
Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star Sabah), Datuk Ellron Angin berkata, penyertaan mereka ini membuktikan Parti Star semakin mendapat sokongan padu sekaligus menunjukkan peningkatan keyakinan rakyat di negeri ini.
Katanya, penyertaan mereka ini ke dalam Star Sabah sangat bertepatan disamping menjamin pembangunan yang berterusan kepada rakyat khususnya di Dun Sook dan Nabawan.
“Kita ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas penyertaan mereka. Selamat berjuang bersama-sama parti Star Sabah sebagai wadah perjuangan dalam politik baharu mereka.
“Penyertaan mereka dalam parti ini dilihat mampu mengukuhkan lagi kedudukan parti Star Sabah khususnya di Sook dan Dun Nabawan.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis penerimaan kemasukkan seramai 291 ahli baharu ke Parti Star Sabah, di kediamannya di Kampung Biah Tengah, di Keningau.
Elron yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, penyertaan mereka ke dalam parti Star Sabah adalah satu keputusan tepat pada masanya demi memastikan kesinambungan perancangan pembangunan dapat diteruskan di masa depan.
“Kita mengalu-alukan lebih ramai lagi mereka di luar sana menyertai parti Star Sabah. Ini kerana parti ini mempunyai prestasi terbaik serta terbukti dalam PRN lalu,” katanya.
Elron yang Ahli Dewan Undangan Negeri Adun) Sook berkata, hampir semua kerusi DUN yang dipertandingkan dimenangi parti Star Sabah sekaligus menunjukkan sokongan padu dalam kalangan rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
Sementara itu Ampalus @ Robert Sanaron berkata penyertaan mereka ke parti Star Sabah bukan atas dasar kepentingan diri sendiri sebaliknya tertarik dengan asas perjuangan parti tersebut.
“Ini termasuklah kemampuan parti Star Sabah dalam PRN Sabah lalu sekaligus yakin parti Star Sabah mampu membela nasib rakyat, itu yang kita mahukan,” katanya.
Dalam perkembangan sama Ampalus berkata, beliau berharap agar Parti Star Sabah memberi ruang serta peluang kepada YB Datuk Elron Angin untuk bertanding di Parlimen Pensiangan sekaligus memastikan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 kelak.
SabahNewsToday