KOTA KINABALU : Kerajaan Persekutuan bertekad untuk mengangkat martabat semua negeri terutama di kawasan pedalaman, terpencil dan miskin bandar.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menzahirkan kepercayaan dan keyakinan bahawa komitmen itu mampu dicapai dengan adanya permuafakatan, perbincangan serta amalan kerja berpasukan antara pemimpin Persekutuan dengan negeri termasuk Sabah dan sarawak.

Katanya, tiada negeri yang tidak mempunyai sebarang masalah namun segala keluhan rakyat perlu didengar bagi memastikan apa sahaja keperluan penduduk berjaya dipenuhi.
“Kalau mahu Malaysia ini berjaya siapa sahajo jadi Perdana Menteri, siapa sahaja jadi Menteri, siapa sahaja jadi pemimpin, mesti memimpin seluruh rakyat dan bangsa Malaysia,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Malaysia 2024 Peringkat Kebangsaan di Padang Merdeka di sini semalam.
Sambutan itu dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri-menteri Kabinet Persekutuan dan negeri.
Hadir sama Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil merupaka. Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 serta Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2024 selain ketua-ketua jabatan kerajaan Persekutuan dan negeri.
Anwar turut memberi jaminan akan bertungkus lumus menjayakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bersama rakan pimpinan dan Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63).
“Walaupun saya akui ada masalah yang harus kita selesaikan tetapi saya bernasib baik kerana sebaik menjawat Perdana Menteri, dua sahabat saya menaruh keyakinan penuh (iaitu) Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak bermuafakat, bicara dengan terang, tegur dengan baik sebagai sahabat.
“(Mereka) mengeluh dan menuntut tetapi dalam semangat persahabatan untuk jayakan Malaysia, negara keramat kita. Saya harap pemimpin-pemimpin lain belajar daripada semangat yang mereka tunjukkan,” katanya.
Anwar turut menyeru seluruh rakyat agar menanam semangat jiwa merdeka dan terus bersatu hati dalam membangunkan Malaysia selain menjauhi sikap perkauman sempit serta kebencian antara satu sama lain.
Beliau mahu tema sambutan Hari Malaysia 2024 Peringkat Kebangsaan ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’ difahami secara mendalam kerana ia bukan hanya menterjemahkan kebebasan
daripada penjajah semata-mata tetapi juga dalam aspek memilih pemimpin yang mampu mentadbir negara dan membela nasio rakyat.
Perdana Menteri berkata semangat meraikan kejayaan Malaysia di pentas antarabangsa tanpa mengira bangsa, suku kaum dan agama wajar diterapkan dalam diri setiap masyarakat negara ini.
Anwar merujuk kejayaan atlet powerlifting negaro Bonnie Bunyau Gustin, yang juga anak kelahiran
Sarawak, menghadiahkan pingat emas kepado Malaysia di Sukan Paralimpik Paris 2024 dan atlet
100 meter lelaki T44 (kecacatan fizikal) Eddy Bernard dari Beluran, Sabah yang menyumbang pingat gangsa pada temasya sukan berprestij itu.
“Kita tak persoal dari mana dia, apa suku kaum dan agamanya, cuma kita bangga kerana anak Malaysia catat kebanggaan menang pingat di (Sukan Paralimpik) Paris. Inilah semangat yang kita nak. Hidupkan dalam kalangan kita,” katanya.
