KOTA KINABALU: Kerajaan negeri berusaha memperkasakan jaringan ekonomi digital di bandar serta luar bandar Sabah dalam Revolusi Industri 4.0.
Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata peralihan itu mengubah landskap pasaran buruh di serata dunia, termasuklah di negeri ini.
Katanya, adaptasi peralihan lebih cepat pada pasca COVID-19, apabila permintaan pekerjaan berikutan peningkatan permintaan kepada penggunaan teknologi dan kemahiran baharu.
“Di Sabah, pelbagai industri ingin memanfaatkan perkembangan pasaran digital, dan transformasi pendigitalan mempunyai permintaan tinggi bagi pekerja memiliki kemahiran digital.
“Landskap pekerjaan masa hadapan juga bersifat tanpa sempadan, dan ini memberi peluang mengatasi masalah fizikal, sosial dan geografi.
“Kerajaan negeri kini dalam usaha memperkasakan jaringan ekonomi digital di bandar dan di luar bandar, dengan pelaksanaan kerangka strategi serta pelan tindakan telah dirancang dan dilaksanakan”, katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke- 22, di Dewan Canselor UMS, hari ini.
Hajiji yang juga Pro Canselor universiti itu berkata, UMS memberi kepercayaan untuk menjadi penyelaras Pusat Kecemerlangan Sabah sebagai penggerak utama bagi pembangunan pendidikan serta teknologi di negeri ini.
“Kita mengharapkan graduan sebagai peneraju kepada kepimpinan negara, peneraju ekonomi, pencipta ilmu dan teknologi, ejen perpaduan.
“Ini juga sebagai agen pembangunan serta pembekal kepada modal insan bagi sektor awam dan swasta. Graduan perlu membawa perubahan positif untuk bangsa dan negara Malaysia tercinta ini,” katanya.