KOTA KINABALU : Kerajaan negeri akan memastikan tidak ada pelajar yang terpinggir daripada menerima aspek pendidikan di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, kerajaan akan memastikan anak-anak Sabah dapat meneruskan pengajian sehingga ke peringkat lebih tinggi.
Katanya, ini menerusi pelbagai inisiatif diberikan merangkumi peringkat bermula pada sekolah rendah, menengah hingga institusi pengajian tinggi.
“Kita sentiasa komited memperkasa pembangunan pendidikan dan infrastrukturnya dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti tinggi, berkemahiran dan berdaya saing.
“Pembangunan modal insan di negeri ini sentiasa menjadi keutamaan bagi menyediakan pemimpin yang bakal mencorakkan masa hadapan negeri ini” katanya di sini hari ini.
Hajiji berkata, hanya dengan pendidikan yang baik berupaya mengubah kualiti hidup rakyat yang akhirnya menyumbang kepada kejayaan dan kecemerlangan negara khususnya negeri Sabah.
“Sejak tahun 1967 hingga Jun 2024, seramai 121,897 pelajar telah mendapat manfaat daripada inisiatif bantuan pendidikan Yayasan Sabah (YS) melibatkan perbelanjaan berjumlah RM868 juta.
“Buat julung kalinya kerajaan memberi bantuan subsidi tiket penerbangan menerusi Subsidi Graduan Rindu Sabah berjumlah RM600 setiap seorang kepada semua pelajar Sabah belajar di universiti awam dan swasta di Semenanjung, Sarawak dan Labuan pada bulan Mac lalu dengan peruntukan lebih RM10 juta,” jelas Hajiji.
Menurutnya, pada tahun 2023 kerajaan menambah peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah daripada RM55 juta kepada RM101 juta.