TAWAU: Isu kenaikan harga tiket penerbangan setiap kali musim perayaan terus menjadi beban kepada rakyat, terutamanya mereka yang ingin pulang ke Sabah dan Sarawak.
Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy menggesa kerajaan mengambil tindakan segera bagi mengatasi isu ini yang tiada kesudahan.
Katanya, harga tiket yang terlalu mahal ini memberi kesan besar kepada mereka yang ingin pulang ke kampung terutamanya pelajar dan pekerja di Semenanjung.
“Saya telah meninjau harga tiket penerbangan menunjukkan kadar yang sangat tinggi, mencecah lebih RM600 untuk satu hala.
“Ini bermakna perjalanan pergi dan balik boleh menelan belanja sekitar RM800 hingga RM900, bergantung pada tarikh perjalanan,” katanya.
Suryady merupakan Ahli Parlimen Kalabakan berkata demikian ketika ditemui dalam majlis Ibrah Ramadan Tawau FM di Masjid Al-Mukarramah, Tanjung Batu Keramat, di sini, pada Sabtu.
Turut hadir, Pengurus Penyiaran Tawau, Muzrina Jubaira Sarfuddin dan Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Kalabakan, Saripudin Nuhalim.
Mengulas lanjut, katanya, isu ini bukan hanya untuk penerbangan dari Semenanjung sahaja, malah ia turut dialami bagi mereka yang ingin pulang dari Kota Kinabalu ke Tawau dan Sandakan.
“Saya sendiri juga telah menyemak melalui laman web sebuah syarikat penerbangan dan mendapati penerbangan ke Tawau dan Sandakan sudah penuh, menyebabkan harga terus meningkat.
“Justeru, kita memohon campur tangan pihak kerajaan untuk menambah jumlah penerbangan ke kawasan ini khususnya pada musim-musim perayaan,” katanya.
Suryady turut mencadangkan agar kerajaan dan syarikat penerbangan mempertimbangkan pelaksanaan harga siling bagi tiket penerbangan domestik, terutamanya untuk laluan ke Sabah.
“Langkah ini dilihat dapat membantu mengawal lonjakan harga yang berlaku setiap kali musim perayaan,” katanya.
