KOTA KINABALU: Perubahan besar pertama United Kingdom (UK) kepada nasihat perjalanannya untuk Sabah sejak 2013 merupakan petanda baik untuk menarik balik nasihat kepada warga Britain terhadap perjalanan ke pantai timur Sabah, kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew.
Beliau bersetuju dengan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bahawa Sabah adalah tempat yang selamat untuk dikunjungi dan berniaga.
“Kami menyambut baik keputusan Kerajaan UK (seperti yang diumumkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ailsa Terry) bahawa Kerajaan UK tidak lagi menasihatkan supaya warganya tidak mengembara ke pulau-pulau dan tapak menyelam di kawasan maritim sekitar Kudat.
“Saya optimis bahawa hanya menunggu masa sebelum Kerajaan UK menarik balik nasihat perjalanan terhadap lawatan ke pantai timur Sabah,” kata Liew dalam satu kenyataan, semalam.
Nasihat terhadap semua kecuali perjalanan penting ke pulau-pulau dan tapak menyelam dari Sandakan ke Tawau, termasuk Pulau Langkayan, masih kekal.
Statistik oleh Bahagian Perangkaan Lembaga Pelancongan Sabah menunjukkan terdapat 20,532 ketibaan pelawat dari UK dan Ireland dari Januari hingga September tahun ini.