SANDAKAN : Seorang lelaki berusia 37 tahun meninggal di dalam kenderaannya yang diparkir di tempat letak kenderaan berhadapan sebuah restoran di Sri Taman, Batu 3, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan ternampak mangsa tertidur dalam kenderaan lebih kurang pukul 9.30 pagi.

Katanya, hasil pemeriksaan polis di lokasi mendapati mangsa berada di dalam kenderaan dengan keadaan enjin yang masih hidup.
Jelasnya, pada masa yang sama pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sandakan sedang berada di lokasi kejadian untuk membantu membuka kenderaan mangsa.
Katanya, lelaki tempatan yang dikenali sebagai Zorazlan Zohari itu disahkan telah meninggal dunia ketika pemeriksaan dilakukan oleh Pegawai Perubatan Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan.
Menurutnya mayat mangsa kemudian telah dibawa ke Jabatan Forensik HDOK Sandakn untuk bedah siasat.
Beliau berkata siasatan awal yang dijalankan oleh pihak polis mendapati tiada sebarang kecederaan pada tubuh mangsa serta unsur jenayah atau khianat berlaku.
Abdul Fuad berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut.