Kerajaan Negeri peruntuk RM474.55 juta untuk pembangunan modal insan tahun depan – Hajiji

KOTA KINABALU: Sebanyak RM474.55 juta akan diperuntukkan untuk pembangunan modal insan tahun depan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Beliau berkata keutamaan untuk program pembangunan modal insan, antaranya pemberian biasiswa dan pendidikan.

Kerajaan Negeri peruntuk RM474.55 juta untuk pembangunan modal insan tahun depan

Katanya Kerajaan Negeri telah memperkenalkan beberapa inisiatif bagi meringankan beban belia yang melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi, seperti bantuan tunai sekali sahaja untuk membayar yuran pendaftaran mereka di bawah program Bantuan Pendaftaran IPT (BUDI).

” Inisiatif itu diambil kerana keperluan dan kebajikan pelajar merupakan agenda utama kerajaan negeri,” katanya pada majlis penutupan Sukan MASISWA Zon Sabah 2023 di Yayasan Universiti Kolej Sabah (UCSF), di sini malam tadi.

Hajiji, yang juga Canselor UCSF menyeru pelajar institusi pengajian tinggi swasta dan awam untuk terus menyokong proses pembangunan negeri melalui rancangan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kerajaan Negeri memerlukan sokongan bagi memastikan semua agenda pembangunan dalam rancangan Hala Tuju SMJ berjaya dilaksanakan,” katanya.

Mengenai perkembangan terkini UCSF, Ketua Menteri berkata beliau menyokong penuh rancangan universiti itu untuk menubuhkan kampus di luar Kota Kinabalu.

“Sebagai Canselor UCSF, saya sentiasa peka dengan pembangunan pendidikan tinggi di Sabah dan institusi milik Kerajaan Negeri.

“Saya telah mengambil maklum isu positif yang diumumkan oleh Naib Canselor, dan sebagai susulan kepada Kerajaan Negeri telah menyediakan dana penyelidikan dan pembangunan.Saya difahamkan bahawa Pusat Kajian Pembangunan UCSF sedang menjalankan beberapa penyelidikan.

“Saya percaya dengan keupayaan dan kekuatan penyelidikan yang ada sekarang, UCSF mampu menghasilkan penyelidikan dalam pelbagai bidang pengajian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata Sukan MASISWA (Majlis Sukan IPTS Malaysia) atau institusi pengajian tinggi antara swasta (IPTS) merupakan platform terbaik untuk membentuk ‘Atlet Berfikiran’.

Seramai 1,600 atlet dan pegawai dari 17 institusi berkumpul selama empat hari di kampus tuan rumah, UCSF untuk bersaing dalam sembilan acara.