KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, dilepaskan atau dipanggil membela diri atas tuduhan rasuah RM2.8 juta, akan diketahui di Mahkamah Sesyen di sini pada jam 3 petang Jumaat.
Pertuduhan adalah membabitkan suapan bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Keputusan di akhir kes pendakwaan itu akan disampaikan oleh Hakim Rozina Ayob selepas mahkamah mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan pada 24 Jun lalu, menurut laporan Sinar Harian hari ini.
Mahkamah akan meneliti keterangan saksi-saksi pendakwaan serta penghujahan kedua-dua pihak sebelum memutuskan keputusan.
Jika mahkamah mendapati pendakwaan berjaya menimbulkan prima facie, Bung Moktar selaku tertuduh pertama manakala, Zizie Izette tertuduh kedua akan diperintah untuk membela diri.
Bagaimanapun, jika pendakwaan gagal menimbulkan prima facie, pasangan suami isteri itu akan dilepaskan daripada pertuduhan berkenaan.
Prosiding kes ini bermula pada 2 Januari 2020 dengan pendakwaan memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan.
Antara yang hadir ke mahkamah ialah saksi pendakwaan kedua (SP2) bekas Pengurus Besar Pelaburan Felcra, Adnan Yusof; SP5, Ahli Lembaga Pengarah Felcra, Dr Habibah Suleiman serta dua ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid (SP24) dan SP25, Norhaili Ahmad Mokhtar.