Kenyataan Rafie Robert Tepat, GRS Bukan Dibina Untuk Melayan Kepentingan Peribadi – Florian

KENINGAU : Kenyataan media Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bingkor, Rafie Robert, mempertahankan maruah serta kestabilan politik Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat sangat tepat pada masanya.

Ketua Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) Bingkor, Florian Ilon berkata, pihaknya menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan itu berikutan  GRS tidak dibina untuk melayan kepentingan peribadi sesiapa.

Katanya, ini sangat bertepatan dengan situasi politik semasa yang memerlukan keikhlasan serta  komitmen kolektif dalam perjuangan.

“GRS terbentuk atas kepercayaan dan iltizam bersama, bukan kerana sikap paksaan.

“Bermakna mana-mana pihak yang hanya ingin menumpang nama tetapi tidak menghormati semangat gabungan harus menilai kembali kedudukan mereka,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Florian berkata, Wiramuda STAR Sabah menolak politik bermuka-muka yang bersalam di pentas tetapi menyimpan niat buruk di belakang.

“Tindakan pihak tertentu yang cuba menggugat kestabilan gabungan dengan kenyataan berunsur ugutan dan tuntutan yang tidak wajar.

“Kita merujuk kepada kenyataan Rafie berhubung kehadiran Parti USNO dalam kerajaan walaupun tidak memenangi sebarang kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, sebagai contoh toleransi politik yang sewajarnya dihargai,” jelas Florian.

Menurutnya, adalah tidak wajar jika semangat inklusif ditunjukkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dibalas dengan tuntutan melampaui asas persefahaman politik.

“GRS bukan tempat untuk ‘gunting dalam lipatan. Pendirian Pemuda STAR Sabah bahawa kestabilan lebih penting daripada memenuhi kehendak individu,” katanya.

Beliau berkata, kepimpinan yang ikhlas tidak hanya akan muncul ketika ada habuan terutama menjelang PRN Sabah.

“Pengkhianatan dari dalam harus ditolak tegas demi kelangsungan perjuangan rakyat Sabah.

“Wiramuda STAR Sabah menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan seluruh pimpinan GRS yang kekal jujur dalam perjuangan demi rakyat.

“Rumah ini dibina atas keringat ramai, jangan biarkan ada yang cuba membakarnya dari dalam,” tegasnya.