KOTA KINABALU : Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) berjaya melaksanakan pelbagai transformasi tadbir urus dan penambahbaikan perkhidmatan ke arah lebih efisien, responsif dan mesra rakyat.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, ia merangkumi penggunaan teknologi ICT, penyusunan semula sistem pentadbiran adat di Mahkamah Anak Negeri serta peningkatan profesionalisme dalam penyampaian perkhidmatan.
“Saya menyambut baik usaha-usaha pembaharuan ini yang jelas membuktikan JHEANS sedang berada di landasan yang betul dalam memperkasa institusi adat di negeri ini,” katanya.
Dr Joachim berkata, beliau turut merakamkan penghargaan terhadap semangat kerja luar biasa dalam memastikan kesinambungan peranan JHEANS demi kesejahteraan rakyat Sabah.
“Penjawat awam bukan sekadar pelaksana dasar, tetapi menjadi penghubung penting antara kerajaan dan rakyat.
“Anugerah yang diberikan hari ini bukan sahaja menghargai kecemerlangan individu, malah menjadi sumber inspirasi kepada rakan sekerja lain untuk terus berkhidmat dengan penuh amanah dan integriti,” jelas Dr Joachim.
Menurutnya, JHEANS mampu memperkasakan penguatkuasaan Undang-Undang Adat di Sabah serta menjadi tonggak kepada kelestarian warisan adat negeri ini.