LABUAN : Gitaris asal Kampung Tambalugu Tuaran, Azwan Abdul Aziz berjaya memikat hati juri dan diumum sebagai Juara dalam Pertandingan Gitar Karox Labuan 2025 anjuran Labuan International Sea Challenge 2025 di sini, semalam.
Azwan dikenali sebagai Romiez berjaya menewaskan 16 peserta lain dalam pertandingan itu sekali gus membawa hadiah wang tunai sebanyak RM1,500.
Azwan yang sudah 15 tahun berkecimpung dalam bidang muzik berkata bahawa, proses pemilihan lagu dan sesi latihan selama tiga minggu akhirnya membawa hasil cukup lumayan.
Dalam pertandingan tersebut Azwan yang juga anak ketiga dari lima beradik membawakan lagu gitar solo bertajuk ‘Takkan Pisah’ oleh Eren pada pertandingan kali itu.
Turut difahamkan, Azwan pernah menjadi gitaris kepada beberapa kumpulan band termasuk OTP, Woodpecker dan Time Attack.
Manakala tempat kedua dimenangi oleh Yusz Achilles yang membawa hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 dan tempat ketiga berjaya dimenangi Adika Sagi yang membawa pulang wang tunai RM700.
Pertandingan yang berlangsung di perkarangan Sea Sports Labuan itu turut disaksikan oleh lebih 500 orang penonton.