KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan sepatutnya mengemukakan ‘Keperluan Segera MeMalaysiakan Malaysia’ (Urgent need to ‘Malaysianise Malaysia), lebih awal bukan hanya sekadar gula-gula menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan, Azhar Matussin berkata, kenyataan ini dilihat hanya bertujuan mengambil hati rakyat atau disifatkan seperti baru terjaga dari lamunan.
Katanya, berbeza dengan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal sentiasa konsisten memperjuangkan hak Sabah dan Perjanjian Malaysia (MA63), sejak dari awal Parti Warisan menerajui kerajaan Sabah.
“Yang menyedihkan pada masa itu terdapat sebahagian pemimpin tidak menyokong usaha ini apabila tidak memberi sokongan semasa pengundian di Parlimen.
“Malah akhir-akhir ini ada kalangan mereka menyokong cadangan ‘New Deal’ bagi menggantikan MA63. Sungguh tidak bermoral….Sangat tidak layak jadi pemimpin Sabah….Sanggup menggadai maruah dan hak Sabah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau berkata, Dr
Jeffrey menyatakan bahawa seperti semua Perdana Menteri sebelum ini Datuk Seri Ismail Sabri sekali lagi meyakinkan rakyat Sabah dan Sarawak kononnya kerajaan persekutuan sangat menghormati serta melindungi hak-hak Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam MA63.
“Isunya di sini….Berapa lama lagi perlu meyakinkan? Apa yang ditunggu?…Tidak perlu bagi keyakinan….laksanakan saja dengan segera MA63, selesai dan jangan berdolak-dalik,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Azhar turut mempersoalkan mengapa kenyataan serta tindakan ini dibuat di Keningau dan mengapa tidak Dr Jeffrey tidak lantang bersuara di Parlimen?
“Sekiranya di Parlimen….Sekurang-kurangnya Dr Jeffrey boleh berbahas atau mencela semasa Ahli Parlimen Kota Belud, YB Munirah berbahas dalam memperjuangkan hak-hak Sabah.
“Adakah Dr Jeffrey pada masa itu tidak berani bersuara kerana ‘boss’ beliau di peringkat Persekutuan sedang memerhati tingkah lakunya,” katanya.
Menurut Azhar, Dr Jeffrey juga menyatakan ketika ini ramai dalam kalangan pemimpin Sabah sedang bersaing untuk menjadi ‘Hero’ dalam memenangi isu MA63.
“Bagi kita…..Sesiapa pun berhak memperjuangkan MA63 tapi perlulah ikhlas. Parti Warisan tetap konsisten sejak dari awal manakala kelihatan parti lain hanya bermula memperjuangkan MA63 sejak dua tahun lepas.
“Jangan hanya jadi hero kampung tapi bila berada berbahas di peringkat Parlimen kecut perut… Saya tidak nampak keikhlasan Dr Jeffrey dalam memperjuangkan MA63. Kalau kita lihat dari segi sejarah pun apa yang diperjuangkan sebelum ini hanya pada Perkara 20 bukannya MA63,” katanya.