KOTA KINABALU: Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim esok (Isnin) dijangka akan menyelesaikan pergolakan politik di Sabah.
Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata, keputusan kemelut politik akan diketahui esok apabila Anwar akan tiba di Kota Kinabalu jam 8 malam dari Jakarta manakala Presiden UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamidi akan tiba jam 7 malam.
Katanya, permainan masih berjalan walaupun Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengumumkan memperoleh 44 sokongan ADUN untuk terus menerajui negeri ini.
“Sudah tentu dia (Hajiji) peroleh ada 44 SD sokongan….Itu semua orang saya, rasuah semua orang saya, tapi tidak apa, “bola masih bergolek dan kita menunggu Perdana Menteri Anwar Ibrahim datang esok.
“Mereka (Anwar dan Zahid) akan berjumpa dengan kita, Warisan serta GRS (Gabungan Rakyat Sabah), kemudian baru kita berkata mengenai perkara ini (kemelut politik Sabah),” katanya di sini hari ini.
Bung Moktar berkata, kerajaan negeri pada hari ini sudah jatuh selepas Umno dan Barisan Nasional (BN) menarik balik sokongan mereka.
“Kerajaan negeri tidak ada sebab kerajaan ini ditubuhkan sama-sama jadi apabila tarik diri kita bukan berhenti, kita tarik diri bermakna ketua menteri tidak ada lah…”game still on”.
“Kita juga percaya yang tiada upacara angkat sumpah bakal berlaku esok,” katanya.