KEMAS peruntuk RM210,000 untuk lancar PDM Masakan seluruh negara

LABUAN: Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) telah memperuntukan sebanyak RM210,000 untuk pelancaran Pusat Daya Maju (PDM) Masakan di seluruh negara.

Pengarah Bahagian Pendidikan Kemahiran KEMAS Dr Zainal Abidin Ali berkata peruntukan itu membolehkan KEMAS menaik taraf Kelas Kemahiran Masakan kepada PDM Masakan KEMAS dengan fungsi sebagai pusat tumpuan aktiviti kemahiran yang dapat melahirkan masyarakat bermutu berkamahiran dan boleh berdikari.

“PDM ini menyediakan peralatan memasak yang lengkap sebagai platform kepada masyarakat setempat untuk terlibat secara aktif dalam meningkatkan ekonomi dan pendapatan keluarga serta penggunaan peralatan yang disediakan oleh KEMAS secara optimum,” katanya pada Majlis Pelancaran PDM Masakan KEMAS Labuan pada Sabtu lepas.

Majlis pelancaran PDM tersebut disempurnakan oleh Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek mewakili Pengerusi Perbadanan Labuan, Tan Sri Anifah Aman.

PDM Masakan Labuan diperuntukkan sebanyak RM15,000.

Dr Zainal berkata KEMAS memandang ke hadapan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat dengan menyediakan pelbagai program kemahiran bukan sahaja bagi membantu golongan suri rumah tetapi juga kepada golongan belia.

Katanya KEMAS sentiasa menambahbaik program sedia ada untuk diberi penekanan agar aspek kemahiran dapat terus dipertingkatkan demi membantu kumpulan sasar.

Dalam pada itu, beliau berkata dengan berkembangnya fungsi PDM Masakan ini, ia dapat menarik lebih ramai kunjungan masyarakat Labuan khususnya golongan belia untuk menggunakan peralatan yang terdapat di pusat masakan ini.

“Saya berharap, PDM Masakan KEMAS dapat membantu masyarakat di pulau ini khususnya dalam meningkatkan pendapatan dan menarik minat golongan masyarakat, belia-beliawanis untuk mentransfomasikan kawasan luar bandar kearah yang lebih sejahtera” katanya.

Turut diadakan pada majlis itu ialah penyampaian Geran 1 Program 1 Kampung Usahawan Bantuan Gerai Lipat sebanyak RM4,000 kepada lima penerima.

Mereka terdiri daripada Nurul Izah Moren yang menghasilkan produk Kek dan Dessert, Elinawati Kalik yang menghasilkan produk Colek Buah Kak Ely, Rosneh Sitian yang menghasilkan produk Kacang Soya Kanada, Hanum Khamsiah Ismail dengan produk Aneka Kuih Muih v/s Lak Sam dan Mastura Abd. Razak dengan produk Nasi Lele Penyet.