KOTA KINABALU: Tiga faktor asas iaitu jalan raya, bekalan air bersih dan elektrik perlu diselesaikan dengan segera oleh mana-mana kerajaan negeri Sabah.
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, selepas Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang UMNO memastikan negeri Sabah itu benar-benar menerima limpahan infrastruktur yang lebih baik.
“Tidak mustahil untuk kita bangunkan negeri Sabah ini sekiranya kerajaan negeri ada komitmen tinggi untuk menyelesaikan isu-isu tertunggak ini.
“Ini penting saya lihat negeri Sabah ini terlalu ketinggalan jauh jika disbanding dengan negeri lain, sedangkan Sabah adalah sebuah negeri yang berpotensi dan mampu dibangunkan,” katanya di sini hari ini.
Menurut Bung, adalah mustahil mana-mana kerajaan tidak membangunkan negeri Sabah dan rakyat Sabah berhak menerima keadaan baik dari segi infrastruktur, prasarana dan ekonomi.
