Fasiliti kesihatan di Sandakan jadi perintis inisiatif Label Ubat Mesra OKU Penglihatan

SANDAKAN: Klinik Kesihatan Sandakan dan Klinik Kesihatan Sungai Manila di bawah Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Sandakan menjadi antara fasiliti perintis untuk melaksanakan inisiatif Label Ubat Mesra orang kelainan upaya (OKU) Penglihatan dalam tulisan Braille.

Inisiatif baharu tersebut telah dilancarkan pada Mac tahun ini oleh Kementerian Kesihatan Malaysia melalui Program Perkhidmatan Farmasi.

Menurut Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr. Liau Siow Yen, setakat ini seramai lapan orang pesakit OKU penglihatan telah memanfaatkan penggunaan Label Ubat Mesra OKU Penglihatan di PKK Sandakan ini.

“Inisiatif ini kemudian diperkenalkan kepada pelatih, petugas serta penduduk Kompleks Penyayang Taman Cahaya yang kebanyakannya adalah golongan OKU penglihatan.

“Dengan adanya label tersebut ia dapat memberi maklumat mengenai cara membaca dos ubat serta frekuensi melalui label yang dibekalkan oleh pihak farmasi,” katanya ketika meramsikan Program Outreach Perkhidmatan Farmasi Penilaian Ubat-Ubatan di Rumah & Label Ubat Mesra OKU Penglihatan di Kompleks Penyayang Taman Cahaya di Sandakan.

Menurut beliau, Malaysia antara negara terawal di Asia Tenggara yang memperkenal label ubat yang mesra OKU penglihatan.

Jelasnya, langkah itu selaras dengan matlamat di bawah Malaysian Patient Safety Goals 2.0 – Medication Safety: Medication without Harm.

Beliau berkata ia antara lain bertujuan untuk memberi penjagaan farmaseutikal yang mantap bagi meningkatkan kesihatan dan kualiti hidup pesakit dengan memberi keutamaan kepada penggunaan ubat-ubatan yang berkualiti.