Bekalan beras tempatan sukar diperolehi di Sandakan

SANDAKAN: Bekalan beras tempatan kini sukar didapati di premis perniagaan di daerah ini khususnya di pasaraya.

Seorang pembaca Sabah News Today yang minta dikenali sebagai Zulkifli berkongsi gambar tiada beras tempatan dijual di sebuah pasaraya besar di Sandakan.

Katanya langsung tiada beras tempat dan mereka tiada pilihan terpaksa membeli beras import yang harganya sudah naik.

“Kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan bahwa bekalan mencukupi dan harga beras tempatan terkawal tetapi di lapangan khususnya di Sandakan ini sebaliknya.

“Turun sendiri pantau di lapangan,” katanya lagi.

Pada 1 September lepas, Padiberas Nasional Berhad (Bernas) mengumumkan pelarasan harga jualan beras putih import dengan harga jualan beras putih import kini ditetapkan kepada RM3,200 per tan metrik berbanding harga sebelum ini RM2,350 per tan metrik.

Berikutan itu, beberapa syarikat tempatan telah mengumumkan kenaikan harga beras import 5 kilogram dari RM14.25 kepada RM18.75 dan 10 kilogram RM27.50 kepada RM36.