GOMBAK: Kemajuan dan kemakmuran negeri Selangor membolehkan lebih 100,000 rakyat Sabah mendapat peluang pekerjaan di negeri itu.
Pengerusi Badan Pimpinan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata ini menunjukkan Selangor dibawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Amiruddin Shari berada di landasan betul meneruskan kemajuan di negeri itu.
“Kira-kira 160,000 rakyat Sabah datang dan bekerja di sini (Selangor) menunjukkan Selangor, negeri yang makmur dan dapat menawarkan pekerjaan kepada orang luar,” katanya pada Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan dan Pengenalan Calon Gabungan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri Gombak Setia (N17) di Sg Cincin Gombak Setia, malam tadi.
Ketua Bahagian UMNO Gombak Setia Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omar Din bertanding di DUN Gombak Setia mewakili Gabungan PH-BN.
Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah berkata berbanding tiga negeri dibawah pimpinan Perikatan Nasional (PN) iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak menyediakan peluang pekerjaan seperti yang ada di Selangor.
Dalam pada itu, beliau juga berkata PRN di Selangor ini menjadi medan ujian gabungan PH-BN dibawah Kerajaan Perpaduan.
Justeru, katanya, jajaran baru dibawah Kerajaan Perpaduan ini perlu dijaga dengan memastikan kemenangan pada PRN kali ini.
Bung Moktar juga berkata jentera pilihan raya PH-BN perlu menerapkan semangat kemenangan dalam diri mereka ketika berkempen.
“Kalau jentera pilihan raya tidak bermaya, pengundi di luar sana akan menilai kita.
“Untuk menang buat kerja cara menang.
Niat dan langkah mahu menang. Harus diingat kemenangan tidak datang sendiri. Kita ada14 hari menentukan kemenangan gabungan PH-BN di Selangor ini,’ kata Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO.