Kelonggaran diberikan kerajaan bolehkan aktiviti sosial pada bulan ramadan diadakan

BELURAN: Setelah dua tahun tidak dilaksanakan akibat Covid-19, majlis menyampaikan sumbangan kepada

masjid dan surau pada bulan ramadan di kawasan Parlimen Beluran dapat diadakan pada tahun ini.

Ini berikutan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan pada 1 April lepas terhadap pelaksanaan aktiviti sosial di negara ini.

Hari ini, majlis ini diadakan di Dewan Undangan Negeri Labuk di Dewan Serbaguna Beluran yang disempurnakam oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan yang juga Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ahli Dewan Undangan Negeri Labuk Samad Jambri yang juga Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri.

Sumbangan tahunan ini dilaksanakan bersama Pusat Khidmat Parlimen Beluran dan Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri Labuk dengan kerjasama Pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah Beluran.

Turut disampaikan pada majlis itu adalah zakat kepada beberapa Asnaf.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata setelah dua tahun program ini tidak dilaksanakan akibat Covid-19, ia dilaksanakan pada tahun ini berikutan kelonggaran aktiviti sosial yang dibenarkan oleh kerajaan bermula 1 April lepas.

Katanya ia hasil kejayaan kerajaan dalam menangani wabak ini termasuk program vaksinasi yang mendapat kerjasama yang baik oleh rakyat.

“Ini juga kejayaan rakyat Malaysia yang mematuhi peraturan dan sekatan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan dalam menangani Covid-19.

“Kita harapkan fasa endemik Covid-19 ini akan berlalu bagi membolehkan kehidupan kembali seperti biasa,” kata Ronald.