Kebersihan Pantai Kampung Kibagu dipertingkatkan untuk dijadikan produk pelancongan terbaharu di Kota Kinabalu

KOTA KINABALU : Tahap kebersihan Pantai Kampung Kibagu dekat sini akan dipertingkatkan untuk dijadikan salah satu produk pelancongan terbaharu di Bandaraya Kota Kinabalu.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama penduduk Kampung Kibagu bagi memastikan cadangan ini dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat.

1. Dr Sabin melihat tahap kebersihan Pantai Kampung Kibagu.

Katanya, masih ada ruang yang boleh diperbaiki khususnya untuk meningkatkan tahap kebersihan Pantai Kampung Kibagu yang merupakan lokasi baharu kepada pelancong dalam dan luar negara di kawasan bandaraya Kota Kinabalu.

“Saya hari ini berkesempatan melawat sekitar kawasan Pantai Kibagu, sangat tertarik dengan keindahan pantai kampung yang secara semula jadi yang berhampiran dengan kawasan laut.

2. Dr Sabin melawat aktiviti Tapak Menjual Ikan di Muara Sungai Likas.

“DBKK akan mencari jalan terbaik, termasuk mengadakan perbincangan serta perjumpaan bersama pihak pengurusan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi memastikan cadangan produk pelancongan ini dapat dilaksanakan.

“Kita melihat ini merupakan salah satu sumber untuk penduduk Kampung Kibagu menambah hasil pendapatan apabila pelancong datang berkunjung ke Pantai ini nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja di sekitar Kawasan Pantai Kibagu dan Tapak Menjual Ikan di Muara Sungai Likas dekat sini, semalam.

Sabin berkata, Pantai Kampung Kibagu dilihat berpotensi sebagai lokasi terbaharu pelancong untuk menyaksikan fenomena matahari terbenam di kawasan berkenaan.

“Hari ini saya sampai serta melihat sendiri ke kawasan pantai ini mendapati taburan sampah membabitkan bekas minuman, makanan serta pelbagai bahan buangan berada di sepanjang pantai berkenaan.

“Faktor mungkin berhampiran dengan sebuah kawasan perkampungan atas air serta fenomena air pasang surut juga dilihat antara punca utama masalah sampah ini,” jelas Sabin.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Sektor Operasi DBKK, Robert Lipon dan Timbalan Ketua Pengarah Sektor Khidmat Pengurusan, Rosnah Datu Tumai.