Ibu bapa pelatih tidak perlu keliru dengan program pembangunan bola sepak dikendalilan TABS

KOTA KINABALU : Ibu bapa pelatih yang mengikuti program pembangunan bola sepak akar umbi yang dikendalikan TABS supaya berhati-hati dan tidak keliru dengan program lain.

Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Sulaiman Mohd Noor berkata, TABS sudah lama menjalankan program pembangunan bola sepak di bandaraya ini dan ia akan berterusan seperti biasa.

“Walaupun ketika ini banyak pihak berusaha mengendalikan program sedemikian namun program pembangunan bola sepak TABS tetap berjalan dengan baik.

“Malah ada program yang hampir menyerupainya tetapi yang penting ibu bapa jangan berasa keliru, sebahagian yang hadir ini juga boleh menyampaikan info ini kepada ibu bapa yang lain,”.

“Program kita seperti biasa dijalankan di padang yang sama,” katanya pada satu perjumpaan dengan sebahagian ibu bapa pelatih di perkarangan padang TABS Sukma di sini, hari ini.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas susulan kewujudan program-program baharu bola sepak di bandaraya ketika ini.

Menurut Sulaiman, pihaknya perlu menjelaskan perkembangan yang berlaku susulan terdapat ibu bapa yang ingin tahu situasi sebenar.

“Kami di TABS akan meneruskan program pembangunan bola sepak ini seperti biasa dan diharap tiada lagi kekeliruan timbul selepas ini,” tambahnya.

Beliau berkata, TABS juga akan terus berusaha mempertingkatkan lagi program yang dikendalikan supaya ia memberi manfaat jangka masa panjang kepada pelatih.

“Kita juga merancang mengadakan karnival bola sepak dalaman kepada pelatih bagi memastikan pelatih-pelatih bukan sahaja diberi bimbingan asas bola sepak tetapi juga mendedahkan mereka pertandingan dalaman sebelum bertanding dalam kejohanan di luar,” katanya.

Hadir sama pada perjumpaan itu ialah timbalannya Lokman Sunggim, naib pengerusi 1 S.A Ramlye, setiausaha TABS Amsir Abdullah dan ketua jurulatih Matasan Ahmad.