Kebakaran besar Kampung Bahagia, 445 mangsa dipindahkan ke PPS

SANDAKAN: Seramai 445 mangsa melibatkan 89 Ketua Isi Rumah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan PPR Batu Sapi susulan kebakaran besar yang melanda Kampung Bahagia awal pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sandakan, Datuk Walter Kenson berkata, PPS berkenaan diaktifkan pada jam 7 pagi selepas pemeriksaan mendapati kawasan kediaman tidak lagi selamat untuk didiami.

Menurutnya, langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan serta kebajikan mangsa terjamin sementara menunggu keadaan di lokasi kejadian disahkan selamat.

Setakat jam 9.15 pagi, seramai 445 mangsa telah dipindahkan ke PPS berkenaan, manakala proses pendaftaran masih dijalankan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Tambah beliau, tiada laporan kemalangan jiwa setakat ini dan punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.