KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah tidak pernah mengabaikan kebajikan pegawai selepas mendapat kecederaan ketika bertugas.
Prngarah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, kebajikan pegawai merupakan salah satu keutamaan selepas menerima laporan pegawai terbabit jatuh sakit serta menjalani rawatan perubatan.
Katanya, berkaitan isu tular terbabit jabatan bertindak sewajarnya meluluskan permohonan rayuan daripada pegawai yang memohon untuk bertukar tempat bertugas bagi membolehkan beliau dijaga oleh ahli keluarganya.
“Atas keperihatinan ini, jabatan sudah beberapa kali mengadakan lawatan ke rumah kediaman pegawai terbabit iaitu pada pada 13 Jun 2023 dan 23 September 2022 sambil menyalurkan kepada sumbangan pegawai berkesan.
“Dalam masa sama, pegawai ini diberi penghargaan atas perkhidmatan di JIM Sabah dan dianugerahkan Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021.
“Sijil turut diserahkan kepada pegawai dalam sesi lawatan tersebut. Jabatan mengambil maklum tahap kesihatan pegawai sekali gus membantu menguruskan permohonan kemudahan rawatanya termasuk membiayai pembelian alat perubatannya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Sh Sitti Saleha berkata, mengikut rekod pegawai ini dimasukkan ke hospital pada 22 Jun 2023 untuk pembedahan manakala selesai menjalani pembedahan pada 23 Jun lalu.
“Pegawai ini dibenarkan pulang dari hospital pada 25 Jun lalu kemudiannya diberikan cuti sakit sehingga 17 Julai depan.
“Dalam isu ini jabatan mengambil tindakan yang sewajarnya sekali gus tetap akan memberi khidmat sokongan moral kepada pegawai ini dalam beliau menghadapi masalah kesihatannya,” katanya.
Sh Sitti Saleha menasihatkan agar orang awam tidak membuat sebarang spekulasi bagi mengelakkan kekeliruan khususnya melibatkan jabatan serta masyarakat secara amnya.
“Jabatan turut mendoakan kesejahteraan kesihatan pegawai dan semoga beransur sembuh serta dapat kembali menjalankan tugas seperti sedia kala,” katanya.