KBSS salur dana bantu kelab sukan, persatuan di Sabah – Nizam

TAWAU : Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) bersedia  membantu menyalurkan peruntukan bantuan bagi membantu semua semua persatuan serta kelab sukan di negeri ini.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, ini bertujuan bagi memberi galakan serta sokongan bagi menyertai pelbagai kejohanan di peringkat negeri atau antarabangsa.

Antara ibu bapa yang hadir dalam program perasmian pusat latihan Kelab Empire Taekwondo Sabah (WTF) di sini, semalam.

Katanya, semua persatuan atau kelab yang berdaftar boleh memohon bantuan kepada KBSS untuk membiayai segala aktiviti atau program dirancang untuk memberi manfaat anak-anak Sabah.

“Kita menyeru agar persatuan atau kelab sukan mengambil peluang ini bagi menghantar atlet mereka bertanding di mana-mana kejohanan yang dianjurkan di seluruh negara.

Nizam bersama tetamu lain di program perasmian di sini semalam.

“Ibu bapa juga memainkan peranan penting bagi memastikan agar anak-anak mereka terlibat dalam aktiviti sukan yang banyak memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan pusat latihan Kelab Empire Taekwondo Sabah (WTF) di sini, semalam.

Nizam merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, inisiatif mewujudkan pusat latihan ini dilihat sangat memberi keselesaan kepada atlet sekali gus merupakan satu pengorbanan terutamanya dari segi dana sendiri mereka.

Nizam bersalaman dengan ahli kelab ketika hadir merasmikan program tersebut.

“Pengalaman pengerusi kelab ini pernah mewakili negara menyertai pelbagai kejohanan sukan taekwondo di peringkat antarabangsa merupakan satu kelebihan yang perlu dimanfaatkan.

“Ambil peluang secukupnya untuk menimba ilmu dalam sukan taekwondo ini sekali gus berusaha untuk mencapai kemenangan di peringkat global,” jelas Nizam.

Hadir sama Presiden Kelab Empire Taekwondo Sabah (WTF) Rusfredy Tokan Petrus serta Penaung kelab Osman Gadje.