Fahami dan Dalami Asas Perjuangan MA63 – Ellron

KOTA BELUD : Belia Sabah digesa agar memahami dan mendalami Perjanjian Malaysia 1963 (Malaysia Agreement 1963) yang menjadi tunggak utama kepada pembentukan negara ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin berkata pemahaman terhadap MA63 adalah amat penting bagi kita terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Ellron bersama tetamu yang hadir pada program tersebut.

“fakta-fakta dan intipati yang terdapat dalam perjanjian itu seharusnya menjadi asas utama kita sebagai rakyat Sabah untuk menuntut hak-hak yang selama ini dinafikan” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Bootcamp Ahli Dewan Belia Sabah Sesi 2023/2024 yang diadakan di Daradaat View, Kota Belud di sini semalam.

Ellron merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook berkata, penafian hak-hak kita dalam MA63 selama ini menyebabkan keadaan pembangunan dan aktiviti ekonomi begitu lembab di Sabah jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain di negara ini.

“Daerah Pitas, Nabawan dan beberapa lagi daerah lain yang termasuk dalam kategori daerah miskin adalah contoh utama  pembangunan di Sabah masih lagi mundur. Ini disebabkan oleh penafian hak-hak kita antaranya tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang sampai sekarang masih tidak dapat dipenuhi,” jelas Ellron.

Sehingga hari ini penyediaan kemudahan asas yang terhad seperti air, elektrik dan jalan perhubungan masih menjadi masalah utama yang membebani penduduk luar bandar Sabah.

Justeru itu, tuntutan dan hak-hak yang termaktub dalam MA63 wajar dipenuhi bagi mengatasi permasalahan ini dan warga belia harus memahami perkara ini untuk dijadikan sebagai asas perjuangan MA63.