KOTA KINABALU : Menteri Belia dan Sukan negeri Datuk Ellron Angin bersama-sama Pembantu Menterinya Datuk Fairuz Renddan, hari ini telah melakukan ziarah kepada atlet Para Renang Jaflee Jikol yang sedang menjalani rawatan di Hospital Queen Elizabeth 1 akibat kanser.
Dalam lawatan itu, Ellron sempat memberikan kata-kata semangat kepada Jaflee selain turut mengucapkan terima kasih kepada para kakitangan hospital kerana telah merawat dan menjaga Jaflee.
Di kesempatan itu, pihak Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) telah menghulurkan dana sebanyak RM2,000 kepada Jaflee.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ellron kepada ibu Jaflee dan sebelum ini KBSS menerusi Majlis Sukan Negeri Sabah telah menyumbangkan sebanyak RM19,000 kepada Jaflee bagi meringankan bebanan kewangan keluarga beliau.
Untuk rekod adik Jaflee yang berasal dari Tongod itu merupakan pemenang pingat gangsa dalam sukan Para ASEAN Cambodia 2023 dalam acara renang.
Selain itu, atlet yang berusia 21 tahun itu turut mewakili negara dalam acara 100M Gaya Bebas di Kejohanan Swimming World Series Singapore 2023.
Turut hadir dalam ziarah itu Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah Datuk Mansur Asun, Pengarah Majlis Sukan Negeri Sabah Mohd Asneh Mohd Noor serta warga KBSS.