Tingkat kesedaran tentang keselamatan elektrik – Suruhanjaya Tenaga

KOTA KINABALU: Semua pihak dalam komuniti masyarakat perlu peka dan sedar akan kepentingan untuk mengetahui tentang keselamatan elektrik.

Pemangku Pengarah Suruhanjaya Tenaga Pantai Barat Negeri Sabah (STPBNS) Ahmad Azran Mualap berkata suruhanjaya itu mempunyai peranan utama untuk mengawal selia keselamatan termasuk melindungi orang awam daripada bahaya semasa aktiviti penggunaan elektrik.

Katanya setiap kali dalam aktiviti penggunaan elektrik, sebenarnya terdedah kepada risiko bahaya.

“Penting untuk kita semua memandang serius perkara ini dan mengendalikan semua aktiviti penggunaan elektrik, tidak kira dalam kegunaan domestik yang bervoltan rendah atau kegunaan luar yang bervoltan tinggi.

“Kedua-dua keadaan ini menuntut kita untuk berhati-hati, berwaspada, tidak cuai dalam perihal aktiviti elektrik, semak dan saling mengingatkan apa yang boleh dan tidak boleh,” katanya pada seminar yang disertai oleh lebih 40 peserta terdiri daripada kakitangan agensi kerajaan negeri di sini pada Rabu lepas.

Mereka terdiri daripada Jabatan Perkhidmatan Pembentungan dan Jabatan Pengairan dan Saliran.

Seminar itu turut dijayakan bersama Energy Commission of Sabah (ECoS) selaku badan kawal selia industri gas berpaip di negeri Sabah.

Menurut Ahmad, program seminar itu dianjurkan untuk memfokuskan dan memberi kesedaran kepada kakitangan awam mengenai keselamatan elektrik.

Katanya ini penting agar mereka peka dan sedar akan keperluan untuk mematuhi Akta Bekalan Elektrik 1990 dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994.

“Kita ingin elakkan segala risiko berlakunya kejadian yang tidak ingini kerana risiko kemalangan yang berpunca daripada kecuaian aktiviti penggunaan elektrik mampu meragut nyawa.

“Kita mesti sentiasa memberi peringatan kepada semua, dan perlu diingatkan juga bahawa, aktiviti penggunaan elektrik yang dilakukan perlu mengikut spesifikasi dan aturan yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata semasa dalam aktiviti penggunaan elektrik, pengguna perlu memastikan punca belakan elektrik, wayar, suis utama, plug bekalan tenaga dan perkakasan yang digunakan adalah sesuai dan diluluskan oleh SIRIM, ada spesifikasi yang diluluskan dan disahkan selamat.

Tambah beliau lagi, pihak Suruhanjaya Tenaga akan sentiasa mempromosikan dan mendidik masyarakat tentang kepentingan untuk memastikan pendawaian elektrik selamat.