KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP mengeluarkan teguran keras kepada dua wakil rakyat parti itu di Sabah kerana menerima anugerah Datuk.
Setiausaha Agungnya Anthony Loke berkata, mereka ialah Ahli Parlimen Kota Kinabalu Datuk Chan Foong Hin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, dan ADUN Luyang, Datuk Phoong Jin Zhe yang berkhidmat sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah.
“CEC memutuskan tindakan kedua-dua wakil rakyat itu melanggar dasar parti yang melarang menerima sebarang gelaran semasa berkhidmat sebagai wakil rakyat.
“Oleh itu, CEC menegur sekeras-kerasnya Chan Foong Hin dan Phoong kerana melanggar dasar parti,” katanya dalam satu kenyataan ringkas hari ini.
Loke berkata, CEC DAP mengulangi pendirian bahawa semua wakil rakyat perlu memberi tumpuan untuk berkhidmat kepada rakyat dan hanya dibenar mempertimbangkan sebarang anugerah selepas bersara daripada jawatan yang dilantik.
“DAP merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri di atas pengurniaan anugerah dan akan terus menghormati institusi diraja kita melalui perkhidmatan kepada negara dan rakyat,” tambahnya.