KOTA KINABALU: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Sabah dalam proses akhir menganalisa data-data yang diperolehi daripada penganjuran beberapa siri sukan e-Sports yang dilaksanakan sebelum ini untuk dijadikan intipati dan teras terma rujukan Pembangunan Sukan e-Sports.
Menterinya, Datuk Ellron Angin berkata data tersebut adalah usaha awal KBS membuat penilaian bagi melaksanakan blueprint atau rancangan jangka panjang bagi sukan e-Sports di negeri ini.
Katanya sebelum pandemik COvid-19 melanda KBS menganjurkan Kejohanan E-Sports Tour 2019 pada Disember 2019 yang melibatkan enam enam bahagian seluruh Sabah dengan penyertaan seramai 16,648 peserta.
Tambah beliau lagi KBS meganjurkan tiga kejohanan pada tahun lalu iaitu Program 12.12 e-Carnival 2021 pada 10-12 Disember 2021 yang berjaya mengumpulkan peserta seramai 500 penyertaan; Kejohanan PUBG Mobile Borneo Challenge 2021 (5-7 Februari 2021) dengan sebanyak 320 penyertaan; dan Sabahan Scrim Santai Season 1.0 yang berlangsung pada 4-8 Disember 2021 melibatkan penyertaan seramai 320 penyertaan.
“Edisi kejohanan yang dianjurkan adalah bagi mengisi secara langsung masa senggang keluarga semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan.
“Sebagaimana yang kita sedia maklum, sukan e-Sports adalah merupakan acara siri penganjuran yang telah dijayakan oleh kementerian. Bagaimanapun beberapa masalah dihadapi oleh kementerian semasa penganjuran iaitu kelajuan talian internet kurang memuaskan, peralatan komputer serta peralatan sokongan kurang dan ruang penganjuran (studio atau konti) tidak kondusif,” katanya di Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri yang Ke-16 di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuantin sama ada kerajaan negeri ada menyediakan menyediakan blueprint ataupun perancangan jangka panjang terhadap pembangunan sukan e-Sports dan industri berkaitannya.
Bagi mempopularkan sukan e-Sports di negeri ini, Ellron berkata kementeriannya juga menjalankan kajian terperinci meliputi kos peralatan serta kemudahan penyediaan talian Internet untuk penyediaan prasarana yang akan melibatkan jalinan kerjasama bersama rakan strategik berkaitan seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC).