KUALA LUMPUR: Dengan purata hasil yang diperoleh sepanjang musim 1/2021 dan musim 2/2021, membuktikan bahawa pelaksanaan program rintis SMART Sawah Berskala Besar (SBB) di Selangor telah dapat membantu meningkatkan produktiviti padi tempatan dan menangani masalah kemerosotan hasil tanaman padi di kawasan berkenaan.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata sehingga Disember 2021, pelaksanaan SMART SBB di Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor melibatkan kawasan seluas 1,274 hektar dengan bilangan pesawah seramai 881 orang.
Jumlah pengeluaran padi bagi IADA Barat Laut Selangor pada tahun 2021 adalah sebanyak 6,325 tan metrik dengan purata hasil 4.99 tan metrik per hektar, katanya bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Sabak Bernam Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh di Dewan Rakyat, hari ini.
Ronald berkata program SMART SBB yang dilaksanakan di Sekinchan, Selangor pula melibatkan kawasan seluas 100 hektar telah meningkatkan hasil padi daripada 2.5 tan metrik sehektar kepada lapan hingga sepuluh tan metrik sehektar bagi musim 2/2021 dan musim 1/2022.
Katanya bagi kawasan Parlimen Sungai Besar dan Parlimen Sabak Bernam untuk musim 1/2021, kawasan seluas 159.8 hektar telah dilaksanakan melibatkan seramai 117 orang pesawah dengan jumlah pengeluaran padi adalah sebanyak 610.8 tan metrik dengan purata hasil sebanyak 3.5 sehingga 4.4 tan metrik per hektar,” katanya.
Beliau berkata bagi musim 2/2021, kawasan seluas 316.2 hektar telah diusahakan melibatkan seramai 170 orang pesawah.
Katanya jumlah pengeluaran padi meningkat sebanyak 285 peratus kepada 2,357 tan metrik dan purata hasil padi bagi musim 2/2021 telah meningkat sebanyak 32 peratus kepada 3.5 hingga 6.4 tan metrik per hektar berbanding musim sebelumnya.
Ronald berkata pelaksanaan SMART SBB merupakan suatu inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan matlamat utama bagi meningkatkan produktiviti dan pengeluaran padi dan beras negara menerusi penglibatan syarikat peneraju sekaligus akan membantu meningkatkan pendapatan pesawah sendiri selain mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.
Setakat ini terdapat penyertaan 19 syarikat peneraju yang telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Kerajaan mensasarkan pembangunan kawasan penanaman padi seluas 300,000 hektar secara berperingkat.