KOTA KINABALU: Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di pejabatnya di sini, kelmarin.
Kunjungan tersebut merupakan kali yang pertama selepas lantikan Kasim sebagai Naib Canselor ke-7 pada 3 Oktober lalu.
Antara yang dibincangkan termasuklah kesediaan UMS dalam membantu kerajaan negeri Sabah untuk menjayakan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Menurut Kasim, pihak universiti juga sentiasa bersedia untuk menyumbang dari segi kepakaran, penyelidikan dan buah fikiran untuk kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Sabah.
Pada kunjungan itu, beliau turut memberi taklimat ringkas berkaitan aktiviti dan sesi kemasukan pelajar baharu 2022/2023 yang kini sedang menjalani Minggu Suai Mesra di UMS.
Untuk rekod, Hajiji dijadualkan untuk bersama pelajar-pelajar baharu UMS dalam Majlis Ikrar dan Aku Janji yang akan berlangsung di Dewan Canselor esok (14 Oktober 2022).
Hadir sama dalam rombongan kunjungan hormat itu ialah pengawai-pegawai utama dan kanan UMS.