25 C
Kota Kinabalu
Monday, March 20, 2023

Malaysia tidak akan serah Sabah kepada Filipina – Wan Junaidi

PUTRAJAYA: Malaysia menyifatkan tuntutan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu adalah provokasi dan pelanggaran ke atas kedaulatan serta kepentingan ekonomi negara di peringkat antarabangsa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pada masa ini, pihak berkenaan sedang menggunakan proses timbang tara yang merupakan mekanisme undang-undang antarabangsa persendirian untuk menyerang kepentingan kedaulatan Malaysia di luar negara.

Katanya, proses tersebut bukan sahaja disalah guna tetapi suatu bentuk provokasi ke atas kedaulatan dan kepentingan Malaysia.

“Malah persoalan sama ada Sabah berkemungkinan menjadi sebahagian dari Filipina

susulan keputusan pengisytiharan di mahkamah Paris, ingin saya tegaskan bahawa situasi ini tidak akan berlaku.

“Sabah tidak akan diserahkan atau berada di bawah pentadbiran Filipina dan Kerajaan Persekutuan akan terus mempertahankan kedaulatan wilayah Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan berkenaan bertujuan menjelaskan lebih lanjut jawapan balas Wan Junaidi di Parlimen pada 6 Oktober lalu kepada soalan dikemukakan Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin berhubung isu pertikaian timbang tara antara pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu serta Kerajaan Malaysia.

Wan Junaidi berkata, keputusan pengisytiharan di mahkamah Paris telah diserahkan Penimbang Tara Gonzalo Stampa pada 28 Februari 2022 yang bertujuan mengisytiharkan pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu dengan tuntutan berjumlah AS$14.92 bilion.

Katanya, apabila dinyatakan bahawa pengisytiharan keputusan mahkamah Paris tersebut merupakan ‘tuntutan peribadi’, ia merujuk kepada tuntutan yang dibuat oleh individu persendirian (pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu) dan bukan tuntutan oleh Kerajaan Filipina.

“Selanjutnya, apabila saya menyatakan bahawa tuntutan Sulu dan pengisytiharan keputusan mahkamah Paris tidak ada kena mengena dengan soal kedaulatan, kenyataan tersebut adalah merujuk kepada konteks kedaulatan wilayah, sama ada wujud kemungkinan Sabah diserahkan kepada Filipina,” katanya.

Related Articles

[td_block_social_counter facebook="SabahNewsToday" twitter="@SabahNewstodayN" youtube="#" style="style8 td-social-boxed td-social-font-icons" tdc_css="eyJhbGwiOnsibWFyZ2luLWJvdHRvbSI6IjM4IiwiZGlzcGxheSI6IiJ9LCJwb3J0cmFpdCI6eyJtYXJnaW4tYm90dG9tIjoiMzAiLCJkaXNwbGF5IjoiIn0sInBvcnRyYWl0X21heF93aWR0aCI6MTAxOCwicG9ydHJhaXRfbWluX3dpZHRoIjo3Njh9" custom_title="Stay Connected" block_template_id="td_block_template_8" f_header_font_family="712" f_header_font_transform="uppercase" f_header_font_weight="500" f_header_font_size="17" border_color="#dd3333"]
Iklan

Latest Articles